Selasa, 22 Januari 2013

Asal Usul Sambutan Maulidur Rasul S.A.W




Asal usul sambutan Maulidur Rasul 

Maulidur Rasul tidak pernah disambut oleh Rasulullah SAW walaupun sekali. Begitu juga para sahabat, tidak pernah menyambut hari kelahiran Rasulullah sewaktu hayat Baginda.

Malah sahabat-sahabat sendiri pada zaman itu tidak pernah menyambut hari kelahiran mereka. Hal ini kerana sambutan itu belum menjadi budaya mereka pada waktu itu.

Pada zaman awal Islam belum ada keperluan untuk mereka menyambut hari kelahiran kerana mereka tidak mahu memikirkan usia mereka. Mereka juga tiada keperluan untuk menyambut hari kelahiran Rasulullah kerana setiap hari mereka boleh bertemu Rasulullah terutama apabila berasa rindu. Mereka ini meskipun tiada berkesempatan untuk bertemu Rasulullah, sekurang-kurangnya selawat akan meniti pada bibir mereka.

Tetapi pada zaman tabi’in, umat Islam sudah berselerakan ke seluruh dunia dan dalam keadaan itu mereka semakin jauh dengan Makkah dan Madinah. Tidak dinafikan, sebahagian mereka lupa untuk mengamalkan Islam lantaran semakin jauh daripada roh ajaran dan perjuangan Rasulullah. Mujurlah ulama masih ada lalu mengambil inisiatif untuk membimbing orang ramai ke jalan benar.

Di celah-celah itu lahirlah sebuah karya yang diberi nama al-Barzanji nukilan Syeikh Jaafar al-Barzanji. Di dalamnya mengandungi kisah Rasulullah SAW semasa kelahiran sehingga wafatnya.

Kemudian kisah itu dibacakan kepada orang ramai yang dipersembahkan dengan cara yang menarik bagi membangkitkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Namun untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dalam jumlah yang lebih ramai maka diadakan majlis itu pada hari kelahiran Rasulullah SAW. Di sinilah bermulanya sambutan Maulidur Rasul dalam sejarah Islam.

Hari itu dipilih bukan semata-mata untuk sambutan hari lahir tetapi satu taktik untuk mengumpul orang bagi memperdengarkan kisah Rasulullah SAW yang semakin dilupakan. Semoga umat boleh kembali kepada ajaran Rasulullah seperti zaman sahabat dahulu.

Berdasarkan sejarah itu, maka sambutan Maulidur Rasul yang dilaksanakan pada hari ini seharusnya bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran Rasul. Itu bukanlah matlamat asal sambutan tetapi lebih kepada usaha mengingatkan kembali umat Islam kepada Rasulullah SAW dan perjuangannya.

Oleh sebab itu, acara yang boleh dihidangkan pada hari itu boleh dipelbagaikan asalkan menjurus kea rah menyedarkan umat Islam kea rah mengingati Rasulullah dan perjuangannya. Kalau dahulunya dibacakan barzanji tentu tidak salah pada hari ini disampaikan ceramah di samping pembacaan sejarah Rasulullah, bernazam, bernasyid, membaca al-Quran dan banyak lagi.

Yang penting semua itu boleh menyedarkan umat Islam kepada mengingati perjuangan Rasulullah. Dengan acara tersebut tidak timbul isu bidaah seperti yang selalu kita dengar dakwaannya pada hari ini kerana semua aktiviti itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan baginda tidak pula melarangnya.

Pada hari ini kita tambahkan lagi aktiviti dengan perarakan sepanduk sambil berselawat dan niatnya juga untuk membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Amalan berarak ini pernah dilakukan para sahabat ketika menyambut ketibaan Rasulullah SAW di Madinah dari Makkah. Ternyata perbuatan sahabat itu tidak dilarang oleh Baginda.

Sempena sambutan itu juga, ditambahkan acara memberi anugerah dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi Rasulullah.

Sambutan ini perlu dibezakan dengan sambutan Barat terhadap sambutan hari lahir diri sendiri, sambutan acara potong kek, menyanyi dan menari dan sebagainya dan juga tidak sama dengan sambutan hari lahir bagi orang yang hidup dengan mati.

Sambutan hari lahir orang yang masih hidup sepatutnya untuk mahabbah diri, amalan yang telah dilakukan dan menginsafi diri beberapa hari lagi yang berbaki untuk hidup.

Manakala sambutan hari kelahiran untuk orang yang sudah meninggal dunia adalah untuk mengambil iktibar dan teladan yang baik sebagai motivasi hidup.

Jadi, amalan kita pada hari ini menyambut Maulidur Rasul diharap diterima oleh Allah SWT sebagai ibadah. InsyaAllah. - Ustaz Hj Ahmad Baei Jaafar.

Isnin, 21 Januari 2013

Sambutan Maulidur Rasul 1434H


Selawatlah Selawatlah Selawatlah


Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku." (Riwayat Ibn Mas'ud r.a)
Kelebihan Berselawat
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang berselawat kepadaku dengan sesuatu selawat, sentiasalah Malaikat berdoa untuknya selama ia berselawat kepadaku; oleh itu terpulanglah kepada seseorang sama ada ia hendak berselawat sedikit atau banyak." (Amir bin Rabiah r.a)
Kedudukan selawat ke atas nabi (S.A.W.) ini merupakan perkara yang diwajibkan menurut sebilangan besar ulama'. Malahan dinukilkan bahawa Al-Imam Al-Qurthubi menyatakannya sebagai ijma' ulama'. Apa yang diperselisihkan oleh ulama' ialah adakah selawat itu wajib pada setiap kali majlis dan disebut nama Nabi Muhammad (S.A.W.) atau adakah ianya sunat (bagi yang bersepakat menyatakan ianya wajib seumur hidup).
Dalam hal ini, sebahagian ulama' menyatakan ianya wajib setiap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.), dan sebahagian yang lain menyatakan wajib sekali di sepanjang majlis meskipun dalam majlis tersebut kerap kali disebut nama Rasulullah (S.A.W.) dan sebahagian yang lain menyatakan wajib memperbanyakkan selawat tanpa terikat dengan bilangan dan tidak memadai sekali seumur hidup.
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah." (Abu Hurairah r.a)
Menurut jumhur ulama dalam masalah ini, selawat ke atas nabi (S.A.W.) merupakan ibadat dan jalan mendekatkan diri kepada Allah (s.w.t). Seperti juga zikir, tasbih dan tahmid. Ia diwajibkan sekali seumur hidup dan disunatkan pada setiap waktu dan ketika. Sepatutnya juga ke atas setiap muslim memperbanyakkannya.
Berkait juga dengan soalan yang dikemukakan, iaitu tentang hukum selawat dalam sembahyang. Perkara ini berlaku khilaf di kalangan ulama'. Menurut pandangan Mazhab Syafei dan Hanbali, selawat diwajibkan dalam sembahyang dan tidak sah sembahyang tanpa selawat. Manakala dalam Mazhab Maliki dan Hanafi, selawat merupakan perkara yang sunat muakkad dan sah sembahyang tanpanya tetapi dalam keadaan yang makruh.

Nabi s.a.w bersabda: "Malaikat yang di sebelah kanan (yang menjadi penulis kebaikan) ialah ketua kepada yang di sebelah kiri; maka apabila seseorang melakukan sesuatu kebaikan, dituliskan baginya kebaikan itu menjadi sama dengan sepuluh kebaikan yang tersebut, dan apabila ia melakukan sesuatu kejahatan, lalu Malaikat yang di sebelah kiri hendak menulisnya, berkatalah Malaikat yang disebelah kanan: "Tunggu dahulu;" lalu ia menunggu selama enam atau tujuh jam; kemudian jika orang itu beristighfar dari perbuatan jahat itu, tidaklah dituliskan sesuatu pun; dan jika ia tidak meminta ampun kepada Allah Taala, dituliskan baginya satu kejahatan sahaja." (Abu Umamah r.a)
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
(Surah Al-Ahzab 33: Ayat ke 56)

Rabu, 12 Disember 2012

Contoh Jawi Lama


Tulisan Jawi di kepulauan Indonesia dikenali sebagai tulisan Arab Melayu dan ditemui tertulis pada naskah-naskah manuskrip lama dan prasasti-prasasti. Daripada penelitian terhadap tulisan-tulisan ini dapatlah kita menjejak kembali asalnya perkataan Melayu, kata pinjaman, dan istilah-istilahnya. Jawi lama agak susah dibaca dan dipengaruhi juga dengan dialek daerah dan negeri. Ahli Filologi perlulah mengetahui latar belakang penulis, mengapa manuskrip itu ditulis, peristiwa di zaman tersebut dan beberapa hal lain yang perlu dipertimbangkan. Di sini saya cuba bawakan beberapa perkataan Melayu lama yang berusia lebih dari seratus tahun.


هارواهارا
Harua Hara = Huru Hara. Tunku Abdul Rahman dalam satu ucapannya pernah menyebut perkataan 'hara huru', namun sekarang perkataan Huru Hara telah menggantikan perkataan ini.

Maka beberapa lamanya baginda itu kerajaan di Berahman Indera maka datanglah taqdir Allah ta’ala harua hara di negeri Perak ini…..



کوالا کعسو
Bacaan di atas kelihatan seperti Ke Kuala Kangsu = Ke Kuala Kangsar


استان
Istana
Berasal dari kalimah Parsi Oston آستان
Yang bermaksud negeri, namun Melayu memaknainya sebagai kediaman institusi Diraja


Syah
Berasal dari kalimah Parsi, bermaksud Raja, Sultan
Dalam bahasa Arab bermaksud kambing


Tertulis di atas sebagai Dua Lapan, namun sebenarnya Dulapan atau Delapan
Bermaksud Lapan; 8
Menurut Wan Muhammad Saghir, ada sejarawan barat tersalah membacanya sebagai Dua Lapan dan menterjemahkannya sebagai dua puluh lapan. Perkataan dulapan ini sering ditemui dalam kitab Jawi lama dari negeri Patani.

Lekelaki
Bermaksud laki-laki; lelaki
Orang tua-tua di Kedah masih menyebut lekelaki


Berkalar
Bermaksud bergelar



…berbuat istana lengkap dengan kota paritnya maka adinda baginda raja muda lah kerajaan di Pulau Tiga kalar baginda itu Sultan Iskandar Muhammad Syah adapun putera baginda itu dulapan orang, lima orang lekelaki dan tiga orang itu perempuan yang lekelaki itu…..


Darimawan= Dermawan



Syahazan baginda itulah yang bertuah lagi berdaulat dan arif bijaksana bangsawan lagi darimawan pada barang segala bicara dan perintah hukum adat negeri…..




Qadah atau Kedah
Inilah satu-satunya perkataan Melayu yang berakhir dengan huruf ‘ha’


Kangsu itu kerajaan baginda lengkap dengan segala orang besarnya adapun tatkala itu bendaharanya Raja Alang anak rajaQadah orang kaya besarnya maka ….. temenggungnya



Tuha = Tua
Bahasa Melayu Aceh masih menggunakan perkataan Tuha untuk Tua. Perkataan ini boleh ditemui juga dalam naskah-naskah manuskrip lain seperti Undang-Undang Kedah


..karana (kerana) baginda itu saudara tuha kepada beta



kecik = kecil
Berasal dari kalimah Parsi kucak, dalam dialek perbualan disebut kecik, bahasa tempatan Azari pula menyebut kecik yang sama dengan dialek Kedah.


….berangkatlah diiringi oleh anakda baginda Raja Kecik……